Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagi Anak watan terima pengiktirafan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seorang lagi anak tempatan dikurniakan Anugerah Point of Light Komanwel ke-58 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II atas aktiviti-aktiviti kesukarelawan dalam menyokong pemuliharaan marin yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.

    Awang Rizan bin Latif telah menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Stephen Lindsay pada majlis yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, hari ini. Awang Rizan merupakan presiden serta pengasas ‘Beach Bunch’ yang merupakan sebuah badan organisasi yang telah mengaspirasikan lebih 12,000 orang sukarelawan dan berjaya mengumpulkan lebih 28 tan sampah sarap di seluruh pantai Brunei.

    Beliau mula melakukan kerja pembersihan berkenaan pada 2009 bersama 20 orang rakan lainnya setelah kerap kali mendengar banyak kejadian yang tidak diingini berlaku akibat sisa sampah yang mencemari persekitaran laut dan pantai Brunei.

    ‘Beach Bunch’ akhirnya ditubuhkan pada 2010 bersama seorang lagi rakan beliau, Alan Tan.

    Di bawah kepimpinan Awang Rizan, kempen kebersihan sering diadakan dan kini beliau turut bergiat aktif dalam menggalakkan cara hidup sihat.

    TYT Richard Stephen Lindsay menyerahkan sijil Anugerah Point of Light Komanwel ke-58 kepada Awang Rizan.
    Awang Rizan ketika ditemui oleh pihak media, kelmarin.

    Lebih 3,000 orang telah mengambil bahagian dalam acara tahunan ‘Beachathon Series’ yang telah menukar pantai Brunei menjadi tempat awam sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran pelbagai acara cabaran larian trial.

    Beliau turut bekerjasama dengan pihak kerajaan sebagai Pasukan Petugas Keselamatan Pantai Nasional bagi mempromosikan kursus keselamatan nyawa di sekolah-sekolah, pemasangan alat bantu penyelamat dan papan tanda keselamatan di pantai-pantai di negara ini untuk memberi maklumat serta pengetahuan mengenai keselamatan orang awam tempatan dan para pelancong ketika berada di kawasan pantai.

    Ketika ditemui pihak media, Awang Rizan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan United Kingdom atas penganugerahan yang berprestij berkenaan.

    Sebagai orang kedua yang menerima anugerah tersebut di negara ini, sudah pastinya beliau berasa begitu teruja dan gembira dan dengan adanya penganugerahan tersebut beliau berazam untuk gigih meneruskan usaha yang dijalankannya sebelum ini bagi menjadikan pantai di negara ini lebih meriah dan terserlah keindahannya.

    Selain itu, katanya, beliau juga akan berusaha untuk menjadikan Brunei sebagai pusat pelancongan pantai.

    Sementara itu, TYT Richard Stephen Lindsay pada majlis tersebut juga sempat mengucapkan tahniah kepada Awang Rizan bagi anugerah yang diberikan kepadanya daripada Baginda Ratu Elizabeth II atas pengiktirafan kerja kesukarelawan yang penuh inspirasi bagi memelihara alam sekitar dan pantai di Negara Brunei Darussalam khususnya agar tetap bersih dan selamat untuk dikunjungi.

    Seterusnya, Tuan Yang Terutama berharap agar Awang Rizan terus membawa orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dalam memelihara keindahan pantai di negara ini serta membantu dalam menangani isu permasalahan global mengenai isu pencemaran plastik di persisiran pantai dan laut, yang menurutnya, merupakan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan alam sekitar sama ada bagi yang tinggal berhampiran pantai Brunei mahupun di Britain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda