Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagi pelancong Australia maut disyaki keracunan metanol

    BANGKOK, 22 NOV – Seorang lagi pelancong Australia meninggal dunia di sebuah hospital di Thailand hari ini, menjadikan angka korban akibat keracunan metanol yang disyaki berlaku di pusat tumpuan pelancong di Laos kepada enam orang.

    Mangsa termasuk dua warga Denmark, seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga Britain, yang dilaporkan mengalami gejala selepas keluar malam di Vang Vieng pada 12 November lalu, menurut laporan media Australia dan Britain.

    Menteri Luar Australia, Penny Wong, dalam satu kenyataan menyatakan rasa dukacita terhadap pemergian mangsa, Holly Bowles.

    “Seluruh rakyat Australia berasa dukacita atas kehilangan Holly Bowles. Hanya semalam, Holly kehilangan sahabat karibnya, Bianca Jones,” katanya.

    “Malam ini, seluruh Australia akan merasai kesedihan keluarga kedua-dua mangsa,” tambah beliau.

    Pihak berkuasa Australia kini mendesak kerajaan Laos supaya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Di hospital Bangkok, tempat Bowles dilaporkan menerima rawatan, kakitangan enggan mengesahkan sama ada mangsa pernah mendapatkan rawatan di sana. Kedutaan Australia di Bangkok juga telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

    Vang Vieng, yang pernah terkenal sebagai lokasi pesta dan aktiviti pelancong, kini dipromosikan sebagai destinasi eko-pelancongan.

    “Saya dengar berita itu, tetapi segalanya normal di sini,” kata Michael, pengurus Vietnam di Vangvieng Rock Backpacker Rooftop Hostel kepada wartawan. – AFP

    Gambar menunjukkan suasana asrama Nana Backpackers di Vang Vieng, Laos kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda