Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan tamatkan latihan trafik udara

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Lapan orang penerima skim biasiswa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berjaya menamatkan latihan trafik udara di Akademi Penerbangan Awam Malaysia (MAVA) pada 7 Jun lalu.

    Latihan yang diikuti dalam tempoh enam bulan itu telah bermula sejak 22 Januari hingga 7 Jun lalu yang menjurus kepada latihan asas kawalan trafik udara dan pengendaliannya.

    Penerima-penerima biasiswa pegawai trafik udara ini adalah di bawah jalinan kerjasama di antara Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan dan Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan.

    Skim ini merupakan antara inisiatif Jabatan Penerbangan Awam bagi menyediakan pegawai-pegawai trafik udara yang mencukupi di negara ini sejajar dengan matlamat memastikan keselamatan (safety) penerbangan awam dan orang ramai.

    Untuk mendapatkan pegawai trafik udara yang berkelayakan, setiap pegawai perlu menjalani program latihan trafik udara khusus. Jangka masa program latihan berkenaan bergantung kepada kebolehan individu.

    Lapan orang penerima biasiswa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berjaya menamatkan latihan trafik udara selama enam bulan di Akademi Penerbangan Awam Malaysia.

    Selain latihan teori, setiap pegawai juga perlu menjalani latihan amali di samping menjalani peperiksaan bertulis dan ujian kecekapan.

    Penerima-penerima biasiswa berkenaan selanjutnya akan mengikuti fasa kedua program latihan di Pusat Kawalan Lalulintas Udara di negara ini selama enam bulan lagi bermula 21 Jun ini.

    Skim ini akan membolehkan mereka menjadi pegawai trafik udara yang berlesen pada penghujung latihan ini.

    Penerima-penerima biasiswa yang berjaya mendapatkan lesen dalam tempoh yang ditetapkan akan ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Trafik Udara di Bahagian Perkhidmatan Trafik Udara Jabatan Penerbangan Awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda