SYDNEY, 29 NOV – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata hari ini bahawa undang-undang bersejarah yang melarang remaja bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial akan mengurangkan ‘risiko’ kepada kanak-kanak.
Tindakan keras terhadap laman web seperti Facebook, Instagram dan X, yang diluluskan oleh parlimen semalam, akan membawa ‘hasil yang lebih baik dan kurang memudaratkan kepada rakyat muda Australia,” katanya kepada wartawan.
Kerajaan tidak mengharapkan undang-undang baharu itu dilaksanakan dengan sempurna, kata Albanese, dengan membandingkannya dengan pengharaman alkohol untuk individu bawah 18 tahun yang kadang-kadang boleh dilanggar.
“Tetapi kami tahu bahawa ini adalah langkah yang betul,” katanya pada satu sidang media di Canberra.
Perdana menteri itu berkata platform kini mempunyai ‘tanggungjawab sosial’ untuk menjadikan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan.
“Kami menyokong awda, itu mesej kami kepada ibu bapa di Australia,” katanya.
Syarikat media sosial – yang berdepan denda sehingga Aus$50 juta jika gagal mematuhi – telah menyifatkan undang-undang tersebut sebagai ‘tidak jelas’, ‘bermasalah’ dan ‘terburu-buru’.
Ia akan berkuatkuasa selepas 12 bulan, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut. – AFP