Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian ketahanan terima sambutan

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 25 FEB – Bagi menguji ketahanan dan kekuatan diri, lebih 140 pelari dari seluruh negara menyertai perlumbaan ketahanan empat jam Run4Wud yang diadakan di Taman Rekreasi Hutan Sungai Liang hari ini.

    Dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang dan Pekan Belait dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Kaboon Runner, pertandingan itu turut diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-40.

    Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol, yang menyelia perlumbaan yang berlangsung, menjelaskan bahawa acara itu bukan sahaja diadakan untuk mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga sebagai pengenalan kepada Ultra Runs, yang merupakan perlumbaan berjalan kaki dengan jarak yang lebih jauh daripada maraton tradisional.

    “Dalam perlumbaan ini, peserta perlu melengkapkan seberapa banyak pusingan merangkumi laluan 3.3 kilometer yang merentasi jalan rata dan trek hutan yang terdapat di seluruh kawasan Kampung Sungai Liang,” jelasnya.

    Sebagai perlumbaan yang kompetitif, para peserta bertanding dalam dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita, di mana mereka mencabar diri mereka untuk melengkapkan seberapa banyak pusingan yang mungkin dalam tempoh empat jam.

    Dalam perlumbaan berkenaan, juara bagi Kategori Terbuka Lelaki jatuh kepada Awang Zainor yang menamatkan 11 pusingan, manakala Dayang Husna Abdullah melengkapkan sembilan pusingan untuk muncul juara bagi Kategori Terbuka Wanita.

    Sepuluh pelari terbaik bagi setiap kategori turut diraikan oleh Awang Mohammad Haszrin pada akhir acara tersebut.

    Awang Mohammad Haszrin menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara Kategori Terbuka Lelaki. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda