Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 saksi hujan meteor

    Oleh Syahmi Hassan

    TUTONG, 23 APRIL – Para peminat astronomi dan orang ramai telah berpeluang menyaksikan fenomena astronomi semasa perkhemahan yang bertema ‘Tonight It Will Rain Stars’ yang berlangsung di Bintudoh Greenspring Resort, Tutong, semalam.

    Pelbagai aktiviti telah dikendalikan bermula dari pukul 2 petang kelmarin sehingga 12 tengah hari ini yang berjaya menarik penyertaan lebih 100 orang peserta yang ingin mendapat pengalaman menyaksikan hujan meteor Lyrids iaitu hujan meteor utama yang pertama pada tahun ini.

    Perkhemahan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) dan Bintudoh Greenspring Resort bersama Brunei Adventure Recreation Association (BARA) dan Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD).

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

    Acara kemuncak pada kem itu ialah pencerapan juraian meteor serta pencerapan langit sepanjang malam. Sesi tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk memerhatikan objek cakerawala seperti bulan, planet-planet dan juga bimasakti dari langit gelap.

    Antara peserta yang menyertai perkhemahan semasa menyaksikan hujan meteor Lyrids. –Gambar serahan PABD

    Lima tajuk ceramah astronomi juga disampaikan semasa perkhemahan tersebut dengan dua daripadanya disampaikan oleh Setiausaha Agung PABD, Awang Hazarry bin Haji Ali Ahmad.

    Turut menyampaikan taklimat ialah penerima anugerah IAU Telescopes for All 2020, Dayang Nur Bazilah binti Zainal Abidin; Ahli Eksekutif PABD, Awang Mohd Qawiem bin Haji Mohd Jamil dan ahli PABD, Awang Abdul Waliyuddin bin Yahya. Dalam kem tersebut, bengkel ‘Night Mobile Photography’ turut diadakan yang disampaikan oleh ahli PABD, Sonny Jumpo.

    Pertandingan ‘Launch Your Own Rocketship’ pula diselenggarakan oleh ahli PABD, Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob uamh mencabar para peserta remaja untuk membina dan melancarkan roket botol air yang diperbuat daripada botol minuman.

    Pada sebelah pagi, para peserta telah dibawa untuk melihat pameran astronomi yang menunjukkan model sistem suria berskala 1:130 billion di perkarangan kem. Model-model tersebut dipamerkan untuk menggambarkan saiz dan jarak planet mengikut skala yang betul di dalam kawasan seluas 160 meter.

    Perkhemahan turut menawarkan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar bersempena sambutan Hari Bumi. Cabaran berhalangan dan ‘Scavenger Hunt’ telah disusun oleh ahli sukarelawan daripada BARA dan PMUBD.

    Di awal acara, PABD menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan ahli-ahli jawatankuasa perkhemahan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang juga merupakan Naib Yang Di-Pertua PABD, Haji Abdul Aziz bin Haji Akob.

    Selepas acara tahlil, derma telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis kepada 12 orang anak yatim yang juga telah ikut serta dalam perkhemahan tersebut.

    Kem berakhir dengan acara penyampaian hadiah kepada kumpulan yang memenangi cabaran roket botol air dan juga pemenang kuiz astronomi secara atas talian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda