Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20 pejuang Iraq maut

    BAGHDAD, 19 Jun – Lebih 20 orang pejuang dari pasukan paramilitari Iraq yang berusaha keras memerangi kumpulan Islamic State (IS) telah terbunuh dalam serbuan udara di timur Syria yang dikaitkan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan Israel.

    Serangan pengeboman disasarkan ke atas Al-Hari, sebuah bandar yang dikawal oleh militia serantau yang bertempur dalam peperangan Syria selama tujuh tahun bersama-sama pasukan tentera Presiden Bashar Al-Assad.

    Pihak berkuasa Syria dan pasukan Iraq menuduh pasukan campuran yang diketuai AS dalang serangan itu namun pasukan itu menafikan ia terlibat dalam serangan semalam itu.

    “Kami ada alasan untuk percaya bahawa itu adalah serangan Israel,” seorang pegawai AS yang merahsiakan identitinya memberitahu AFP semalam.

    Serangan itu disasarkan ke atas kedudukan yang dikawal rejim di bandar sempadan itu dan mengorbankan kira-kira 52 orang, menurut pemerhati yang berpangkalan di Britain.

    Antara mereka yang terkorban adalah para pejuang dari gabungan tentera Iraq, Hashed Al-Shaabi, yang mana sesetengah mereka menyelinap masuk ke Syria untuk memerangi IS.

    Hashed yang disokong Iran mendakwa ‘kapal terbang AS melancarkan dua peluru berpandu pada kedudukan tetap unit-unit Hashed Al-Shaab di sempadan berhampiran dengan Syria, membunuh 22 orang pejuang dan mencederakan 12 orang’.

    Mayat tiga orang pejuang Iraq yang terbunuh dalam serangan itu telah dibawa ke bandar kelahiran mereka bagi upacara pengebumian, menurut pemerhati AFP di bandar selatan Iraq, Nasiriyah.

    Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria berkata sejumlah 30 orang anggota pasukan Iraq adalah antara yang terbunuh di Al-Hari, dan juga 16 orang anggota pasukan Syria dan enam pejuang yang tidak dikenal pasti.

    Serangan itu kali pertama dilaporkan oleh media kerajaan Syria, yang memetik sumber tentera yang menuduh pasukan campuran itu melancarkan pengeboman ke atas salah sebuah kedudukannya di Al-Hari. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda