Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Para pengunjung berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah makanan dan minuman yang disediakan semasa acara Brunei Gastronomy Festival (BGF) 2024 sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) melalui penganjuran Weekend Food Fiesta yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini hingga 25 Februari di Wonderpark Colonnade, Jerudong Park Playground.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, lebih 20 syarikat dan pengusaha makanan menyertai acara Weekend Food Fiesta yang dianjurkan oleh Jerudong Park Country Club Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan sempena BGF.
Kenyataan turut menyatakan lebih 20 syarikat dan pengusaha makanan mengambil bahagian yang menjual pelbagai produk makanan dan minuman tempatan untuk orang ramai.
Acara itu dimeriahkan lagi dengan adanya aktiviti-aktiviti menarik seperti permainan kanak-kanak dan beberapa pertandingan antaranya Teh Tareeeekk Competition dan Nasi Katok Competition.
BGF yang sebelum ini dikenali Brunei Gastronomy Week merupakan acara tahunan Jabatan Kemajuan Pelancongan yang diadakan sempena memperingati sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini, penganjuran BGF 2024 adalah lebih meluas dan meliputi pelbagai jenis makanan tempatan yang berkonsepkan street food hingga bertaraf fine-dining.
Sempena BGF 2024, orang ramai berpeluang untuk menikmati pelabagai jenis promosi makanan dari restoran-restoran, kafe dan pengusaha-pengusaha makanan dan minuman tempatan yang mengambil bahagian.
Selain itu, beberapa acara-acara menarik juga turut diadakan sepanjang BGF 2024 untuk kunjungan dan penyertaan orang ramai sama ada dewasa mahupun kanak-kanak, antaranya Culinary Workshop anjuran Kolej Perdagangan Laksamana, Kids Cooking Class dan Degustation Menu anjuran Hotel Radisson dan In:STALL Pop Up Market anjuran Futurebrands Sdn Bhd.
Jabatan Kemajuan Pelancongan mengalu-alukan penyertaan orang ramai bagi memeriahkan lagi acara BGF 2024 yang berlangsung sehingga 23 Mac nanti, terutama para penggemar makanan yang berhasrat bagi mendapatkan pengalaman gastronomi yang menarik di dalam negara bersama keluarga dan rakan.