Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 3,600 bahan kimia pembungkus makanan ditemui dalam tubuh manusia

    PARIS, 18 SEPT – Lebih 3,600 bahan kimia yang digunakan dalam pembungkusan atau penyediaan makanan telah dikesan dalam tubuh manusia, ada di antaranya berbahaya kepada kesihatan, manakala yang lain masih kurang diketahui statusnya, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.

    Kira-kira 100 daripada bahan kimia itu dianggap sebagai ‘kebimbangan tinggi’ terhadap kesihatan manusia, kata penulis kajian utama, Birgit Geueke dari Yayasan Forum Pembungkusan Makanan, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Zurich.

    Beberapa bahan kimia itu dikaji dengan teliti dan sudah ditemui dalam badan manusia, seperti PFAS dan bisphenol A, dua bahan kimia yang dilarang dalam bahan makanan.

    Dalam pada itu, Geueke turut menggesa lebih banyak kajian dilakukan mengenai bagaimana bahan kimia yang digunakan dalam pembungkusan makanan akhirnya ditelan bersama makanan.

    Pasukan penyelidik sebelum ini telah mengkatalogkan kira-kira 14,000 bahan kimia bersentuhan dengan makanan (FCC), yang berpotensi ‘berpindah’ ke dalam makanan daripada pembungkusan yang diperbuat daripada plastik, kertas, kaca, logam atau bahan-bahan lain.

    Bahan kimia itu juga boleh datangdaripada bahagian lain dalam proses pembuatan makanan, seperti daripada tali sawat penghantar makanan atau peralatan dapur.

    Para penyelidik juga mencari bahan kimia tersebut dalam pangkalan data pemantauan biologi sedia ada bagi mengesan bahan kimia yang terdapat dalam sampel manusia.

    Pasukan tersebut sebelum ini menjangka akan menemui ratusan FCC, kata Geueke.

    Sebaliknya, mereka terkejut apabila menemui 3,601 FCC, iaitu 25 peratus daripada semua FCC yang diketahui. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda