Sunday, January 5, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 5,000 murid sertai Program SIUK

    Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Lebih daripada 5,000 murid memulakan sesi persekolahan agama bagi Darjah Empat di mana mereka menyertai Program Kemasukan Murid Darjah IV Persekolahan Ugama SIUK (Sekolahku, Ilmuku, Ugamaku, Keberkatanku) yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah agama seluruh negara, hari ini.

    Media Permata berpeluang untuk membuat liputan mengenai pelaksanaan program berkenaan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas, di mana semasa sesi taklimat yang disampaikan oleh Guru Besar sekolah, Dayang Hammy binti Panjang menyatakan bahawa sekolah berkenaan mengalu-alukan kemasukan seramai 148 murid Darjah Empat, iaitu 85 murid lelaki dan 63 murid perempuan.

    Dalam sesi taklimat, beliau menerangkan bahawa misi sekolah berkenaan adalah untuk menanamkan ilmu keagamaan kepada murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu, beriman, dan bertakwa dengan tidak melupakan tanggungjawab mereka di dunia serta dapat menjadikan mereka taat dan patuh kepada Allah SWT dengan melakukan amal makruf dan menjauhi kemungkaran.

    Sementara itu, di Daerah Belait, salah sebuah sekolah yang telah mengadakan program itu ialah Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait dengan kehadiran 249 pelajar bersama ibu bapa dan penjaga.

    Program dimulakan dengan beberapa taklimat oleh pihak pentadbiran sekolah yang memperkenalkan pelajar kepada peraturan akademik dan disiplin sekolah.

    Sementara itu, seramai 746 pelajar di 16 sekolah agama di Daerah Belait telah memulakan sesi akademik baharu mereka, difasilitasi oleh Program SIUK yang akan diteruskan sehingga 7 Januari ini.

    Program yang diadakan selama empat hari berkenaan diisikan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan pembentukan sahsiah bertujuan bagi mengukuhkan kesedaran akan kepentingan pendidikan agama di samping memperkasa nilai-nilai Islam dan positif dalam kalangan murid.

    Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam untuk meningkatkan kualiti pendidikan agama melalui penyediaan suasana pembelajaran dan persekitaran sekolah yang positif serta kondusif bagi murid-murid baharu persekolahan agama.

    Dayang Hammy semasa menyampaikan taklimat semasa program SIUK kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara ibu bapa, penjaga dan pelajar hadir semasa program tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara pelajar menyertai program SIUK di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Murid-murid hadir pada hari pertama persekolahan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Daerah Tutong kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    ATAS & BAWAH: Para pelajar yang hadir semasa hari pertama sesi persekolahan Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda