WASHINGTON, 1 NOV – Lebih 62 juta rakyat Amerika mengundi awal dengan lima hari lagi menjelang Pilihan Raya, menurut data yang diterbitkan kelmarin.
Data daripada penjejak Election Lab Universiti Florida menunjukkan seramai 62,725,685 orang mengundi sama ada melalui pos atau secara fizikal di pusat mengundi.
Tidak seperti 2020, ketika AS berada di tengah-tengah pandemik COVID-19, lebih ramai pengundi memilih untuk mengundi secara fizikal berbanding melalui pos pada pilihan raya presiden kali ini.
Dengan hanya kurang seminggu sebelum pilihan raya pada 5 November, tinjauan menunjukkan Naib Presiden Kamala Harris dan pencabarnya dari Parti Republikan, Donald Trump bersaing sengit, terutamanya di tujuh negeri utama.
Harris mendahului tipis di Wisconsin dan Michigan masing-masing dengan 0.2 peratus dan 0.4 peratus, menurut kompilasi tinjauan oleh laman sesawang RealClearPolitics.
Trump terus mendahului di Arizona, Nevada, Pennsylvania, North Carolina, dan Georgia.
Bagaimanapun, kelebihannya hanya pada atau di bawah satu peratus di Nevada, Pennsylvania, dan North Carolina.
Trump memperoleh kelebihan yang lebih besar di Arizona (+2.4 peratus) dan Georgia (+2.7 peratus).
Negeri-negeri penentu adalah penting kerana AS tidak memilih presidennya secara langsung.- Bernama