Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leclerc ungguli GP Bahrain

    SAKHIR, BAHRIN, 21 MAC – Charles Leclerc dari Ferrari menang perlumbaan pembukaan musim Formula Satu Grand Prix Bahrain selepas juara bertahan, Max Verstappen terkeluar kerana masalah elektrikal dua pusingan sebelum perlumbaan tamat awal kelmarin.

    Carlos Sainz menjadikan kedudukan satu-dua buat Ferrari manakala Sergio Perez melengkapkan hari yang buruk buat pasukan Verstappen, Red Bull apabila mengalami masalah mekanikal pada pusingan terakhir yang sekali gus memberikan tempat ketiga kepada Lewis Hamilton.

    George Russell, dalam perlumbaan pertamanya sejak menyertai Hamilton di Mercedes menggantikan Valtteri Bottas, menduduki tempat keempat yang memberikan Mercedes 27 mata.

    Bagi Leclerc, yang terus tenang apabila dia dan Verstappen bertukar-tukar kedudukan pendahulu sebanyak lima kali dalam dua pusingan, kemenangan itu memberikan kegembiraan yang besar.

    “Itulah sepatutnya cara kami memulakan musim. Satu-dua. Mamma mia,” kata pemandu dari Monaco itu di radio.

    Charles Leclerc menjulang trofi di podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain di bandar Sakhir pada 20 Mac 2022.

    Ketika trofi sudah berada di tangan Leclerc berkata: “Saya sangat gembira. Kami tahu ini adalah peluang buat pasukan dan pasukan melakukan tugas hebat membina jentera yang menakjubkan.

    “Satu-dua hari ini bersama Carlos – tiada yang lebih baik daripada itu. Ia menakjubkan untuk kembali ke kedudukan teratas.”

    Nasib malang Red Bull itu membenarkan juara tujuh kali Hamilton meraih tempat ketiga.

    “Tahniah diucapkan kepada Ferrari, amat seronok melihat mereka mencatat prestasi cemerlang sekali lagi,” kata Hamilton.

    “Ia adalah perlumbaan yang sukar – kami bergelut sepanjang latihan dan ia merupakan keputusan terbaik yang kami harapkan. Kami bersyukur dengan mata berkenaan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda