Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee Chong Wei ‘berputus asa’ dengan badminton Malaysia

    KUALA LUMPUR, 20 FEB – Lee Chong Wei berkata dia ‘merasa seperti berputus asa’ dengan badminton Malaysia dan memberi amaran menjelang Sukan Olimpik bahawa perubahan ‘drastik’ diperlukan untuk menyelamatkan sukan di negara itu.

    Pemain badminton Malaysia itu bersuara selepas negaranya tewas 3-0 kepada China dalam perlawanan akhir Kejohanan Pasukan Asia di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

    China jauh lebih unggul walaupun tidak meletakkan pasukan terkuat mereka. India menjulang gelaran kategori wanita, dengan tuan rumah Malaysia gagal melepasi suku akhir.

    Kejohanan ini menawarkan mata kedudukan ke Olimpik Paris musim panas ini.

    “Saya tahu kebenarannya menyakitkan, tetapi saya fikir badminton Malaysia hanya menurun jika tiada apa yang dilakukan,” kata Lee.

    “Buat masa ini, saya berasa seperti berputus asa dengan badminton Malaysia,” tambah Lee, yang bersara pada 2019 selepas kerjaya yang merangkumi tiga pingat perak Olimpik dan tiga pingat perak dunia.

    Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, pihak berkuasa badminton Malaysia perlu berbuat lebih banyak untuk mempromosikan pemain muda, sambil menuduh pemain kurang disiplin dan komitmen.

    “Kami perlu membuat beberapa perubahan drastik,” tambah pemain berusia 41 tahun itu.

    “Jika tidak, kita akan ketinggalan, ketinggalan jauh, dan badminton tidak lagi menjadi salah satu sukan teratas di negara ini.

    “Saya benar-benar tidak tahan untuk menghadapi itu.”- AFP

    Gambar bertarikh 5 Oktober 2023 menunjukkan Lee Chong Wei menyaksikan perlawanan suku akhir beregu pasangan lelaki antara China dan Malaysia di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.- Xinhua

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda