Saturday, January 18, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legasi seni 24 tahun Siti Nurhaliza

    Tarikh 1 April memberikan catatan bermakna dalam perjalanan kehidupan penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza (gambar bawah).

    Hari ini, penyanyi yang melonjak populariti menerusi lagu Jerat Percintaan itu meraikan ulang tahun ke-24 pembabitan dalam dunia persada seni suara. Beliau mula menawan hati peminat sejak menyertai pertandingan Bintang HMI ketika usia 16 tahun pada 1995.

    Siti meluahkan 1001 perasaan kerana masih utuh disayangi dan kekal relevan menerusi laman Instagramnya, semalam.

    “Alhamdulillah dan terima kasih di atas kurniaan-Nya. Tidak ada sedikit pun milik saya, semua hak Dia. Syukur.

    “Buat semua bersama saya sepanjang 24 tahun, tidak kira dalam bentuk apa pun, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih.

    “Suami, ibu, arwah abah, ibu mentua, anak, adik beradik, keluarga, saudara mara, sahabat handai, kakitangan, syarikat rakaman atau label yang pernah bersama saya. Tak lupa, penerbit album, komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi latar, pereka tari, penari latar, jurusolek, pereka pakaian, penata gaya, penerbit TV dan radio, penyampai radio, rakan media dan teman artis.

    “Tak ketinggalan, syarikat yang memberi kepercayaan kepada saya menjadi duta produk, ikon, jurucakap dan sebagainya, penganjur mengundang dalam konsert serta persembahan.

    “Tentunya, peminat dan Sitizoners yang tidak pernah jemu memberikan sokongan selama ini. Alhamdulillah. Doakan agar apa juga yang dipinjamkan kepada saya akan dapat dimanfaatkan kepada orang lain,” tulis Siti.

    Penyanyi 7 Nasihat itu juga mengadakan sesi IG Live di IG, jam 3 petang.

    Menariknya, pengurusnya, Rozi Abdul Razak menerusi IG memuat naik gambar kuih badak berendam dibuat khas sempena ulang tahun ke-24 sebagai penyanyi.

    “Kuih badak berendam buat Siti Nurhaliza sempena 24 tahun dalam industri seni.

    “Beliau tahu, saya sangat jarang menghadiahkan material. Barangkali saya tahu, beliau boleh memiliki lebih daripada apa yang mampu saya berikan.

    “Cara kita ‘menjaga’ seseorang barangkali berbeza-beza. Doa yang panjang, perhatian tak pernah lekang, ada sewaktu susah dan senang, nasihat dilayang dan tentunya, memenuhi ‘selera’ di meja makan terhidang,” tulis Rozi yang sudah 21 tahun menjaga penyanyi nombor satu negara itu.

    Katanya, badak berendam satu signifikan, meskipun sekadar sejenis kuih biasa dengan inti kegemaran gula kabung (bukan inti kelapa), tetapi setiap suapan Siti adalah keikhlasan dengan pemberian bermakna.

    “Terima kasih untuk 24 tahun ini. Wasilah yang diperjuangkan dengan cara tersendiri dalam menerangi medan seni,” tulis Rozi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda