Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki China cemari kuil Yasukuni ditahan

    TOKYO, 10 JULAI – Polis Tokyo telah menahan seorang lelaki warga China dan mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lagi individu atas tuduhan mencemarkan kuil perang Jepun, Yasukuni, yang telah lama menimbulkan kemarahan negara-negara Asia lain, kata pihak berkuasa tempatan, hari ini.

    Kuil Yasukuni di Tokyo memberikan penghormatan kepada 2.5 juta orang yang kebanyakannya rakyat Jepun yang terbunuh dalam peperangan sejak akhir abad ke-19, termasuk penjenayah perang yang telah disabitkan.

    Jiang Zhuojun, 29, yang tinggal di utara Tokyo, ditahan ‘atas tuduhan vandalisme dan tidak menghormati tempat ibadat’, beritahu jurucakap polis metropolitan Tokyo kepada AFP.

    Polis turut mengeluarkan waran tangkap ke atas dua lelaki China lain, Dong Guangming, 36, dan Xu Laiyu, 25, meletakkan mereka dalam senarai orang dikehendaki. Jurucakap itu berkata kedua-duanya dipercayai telah meninggalkan Jepun.

    Jiang bersama Dong didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 31 Mei lalu dengan mengukir perkataan ‘tandas’ menggunakan semburan cat berwarna merah pada tiang kuil, manakala Xu merakam perbuatan tersebut, kata jurucakap itu.

    Satu video yang dimuat naik di media sosial China menunjukkan seorang lelaki kelihatan membuang air kecil di tiang batu sebelum menyembur cat, lapor media tempatan.

    Jurucakap polis mengesahkan bahawa pegawai telah melihat video berkenaan.

    Dong sebelum ini memberitahu penyiar Jepun, TBS bahawa dia mengaku melakukan vandalisme itu, tetapi tidak akan menyerah diri kepada polis kerana tindakan itu adalah satu bantahan terhadap pelepasan air sisa yang dirawat dari loji nuklear Fukushima yang rosak. – AFP

    Sebatang tiang batu (kanan) kelihatan berhampiran pintu masuk ke kuil Yasukuni di Tokyo pada 10 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda