Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dipenjara 10 bulan rosakkan harta masjid

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merosakkan harta benda di Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien (PSBSOAS), Kampung Katimahar.

    Wahid bin Mazid didakwa bertindak merosakkan beberapa bahagian masjid termasuk pintu dan tingkap kaca setelah gagal mendapatkan bantuan kewangan ketika mengunjungi masjid berkenaan pada malam 8 September lalu.

    Menurut Pegawai Pendakwa, Awang Mohammad Syafie Habibuallah bin Edi Mirhan, tertuduh telah membawa sebilah parang ketika tiba di masjid berkenaan.

    Kekecewaan akibat tidak menemui sesiapa yang boleh membantunya menyebabkan tertuduh bertindak memecahkan dua pintu kaca jenis sliding yang menuju ke ruang solat, sebuah pintu kaca perpustakaan mini dan beberapa tingkap sliding.

    Kejadian tersebut dilaporkan oleh kakitangan masjid pada awal pagi keesokan harinya, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan tertuduh sebagai pelakunya. Dalam siasatan, tertuduh mengakui perbuatannya dan menyatakan bahawa tindakannya didorong oleh kemarahan dan tekanan akibat masalah kewangan. Jumlah kerosakan dianggarkan sebanyak $403.

    Majistret Syarifah Nur Baqiyah binti Malai Shahran menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan ke atas tertuduh yang juga merupakan seorang penganggur dan mempunyai rekod kesalahan harta benda sebelum ini.

    Pihak polis turut merampas parang yang digunakan tertuduh dalam kejadian tersebut.

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda