PARIS, 30 MEI – Seorang lelaki berusia 36 tahun telah diberkas dan diletakkan di bawah jagaan psikiatrik selepas dia melumurkan kek pada skrin kaca yang menyimpan potret Mona Lisa, sebagai membantah artis yang tidak memberikan tumpuan yang cukup kepada ‘planet.’
Pegawai di Muzium Louvre di Paris, di mana potret tersebut disimpan, enggan memberikan komen mengenai kejadian pelik itu semalam, yang dirakam di beberapa telefon dan tular di media sosial.
Karya seni berharga oleh Leonardo da Vinci, yang telah menjadi sasaran percubaan vandalisme sebelum ini, tidak mengalami kerosakan disebabkan kacanya yang kalis peluru.
Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Lukee menyiarkan video menunjukkan pekerja muzium mengelap kotoran daripada kaca dan seorang lelaki dalam pakaian putih diiringi keluar oleh pengawal keselamatan.
“Seorang lelaki berpakaian sebagai wanita tua melompat dari kerusi roda dan cuba memecah kaca kalis peluru yang menyimpan Mona Lisa. Seterusnya dia melumurkan kek pada kaca dan membuang bunga mawar di merata tempat, sebelum ditahan pengawal keselamatan,” kata Lukee.
Lelaki itu, berkata dalam bahasa Perancis: “Terdapat orang yang memusnahkan Bumi…Semua artis, fikirkan mengenai Bumi, Itulah sebabnya saya melakukan ini. Fikirkanlah tentang planet.”
Satu siasatan dalam ‘percubaan merosakkan kerja kebudayaan’ telah dilancarkan, kata pejabat pendakwa Paris.
Mona Lisa telah disimpan dalam kaca sejak seorang lelaki Bolivia melontar batu pada lukisan itu pada Disember 1956, merosakkan siku kirinya. Pada 2005, ia diletakkan dalam kaca yang juga boleh mengawal suhu dan kelembapan. – AFP