Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Indonesia terima hidayah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 7 JULAI – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun, Sih Sujatmono telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di salah sebuah kediaman di Kampung Sungai Taring, Lumut II, Daerah Belait, pagi ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama di Unit Dakwah Daerah Belait, Awang Abdul Khaliq bin Kamree, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Sih Sujatmono, yang telah memilih nama Islam baharunya Muhammad Sihsujatmono.

    Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diiringi Dikir Marhaban dan taburan bunga rampai.

    Pusat Dakwah Cawangan Belait telah merekodkan 45 individu telah memeluk agama Islam sejak awal tahun dan seramai 176 individu telah memeluk agama Islam di seluruh negara mulai awal tahun.

    Muhammad Sihsujatmono semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman di Kampung Sungai Taring, Lumut II, Daerah Belait kelmarin. – GAMBAR DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda