SYDNEY, 15 DIS – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa merempuh kenderaan polis menggunakan kenderaan curi di kawasan pinggir bandar Melbourne semalam, menurut Polis Negeri Victoria, Australia.
Polis menerima panggilan sekitar jam 11 malam berhubung pertikaian antara seorang lelaki dan wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Berwick, pinggir bandar Melbourne, menurut kenyataan polis hari ini.
Siasatan awal mendapati tiga lelaki cuba campur tangan, namun lelaki itu didakwa mengancam salah seorang daripada mereka dengan sebilah pisau.
Ketika polis tiba di lokasi, mereka mengarahkan lelaki tersebut keluar dari kenderaan. Bagaimanapun, lelaki itu, yang merupakan satu-satunya penghuni kenderaan tersebut, didakwa merempuh kenderaan polis sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Polis kemudian berjaya mengesan kenderaan curi tersebut dan menggunakan alat stop sticks untuk menggagalkan cubaan suspek melarikan diri.
Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di lokasi kejadian. Tiada kecederaan dilaporkan akibat insiden rempuhan mahupun semasa proses penahanan. – Xinhua