MUNICH, 4 DIS – Bayern Munich tersingkir daripada Piala Jerman selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan, Bayer Leverkusen, hasil jaringan Nathan Tella pada separuh masa kedua.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Manuel Neuer menerima kad merah pertama dalam kariernya selepas 866 perlawanan.
Penjaga gol berusia 38 tahun itu dibuang padang selepas keluar dari kawasan penalti pada minit ke-18 dan mengasari Jeremie Frimpong, yang sedang mara ke arah gawang.
Dengan layangan kad merah itu, Bayern terpaksa membawa masuk penjaga gol simpanan, Daniel Peretz, yang membuat penampilan sulungnya untuk Bayern, 18 bulan selepas menyertai kelab itu.
Walaupun kehilangan seorang pemain dan tanpa kehadiran Harry Kane yang cedera, Bayern tetap bertahan dan menguasai permainan.
Namun, pasukan pelawat akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-69 apabila Tella menanduk masuk hantaran silang daripada Alex Grimaldo.
Tella baru berada di padang selama lapan minit sebelum menjaringkan gol tersebut setelah menggantikan penyerang Patrik Schick yang cedera, yang baru sahaja dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Pemain sayap tuan rumah, Michael Olise, hampir menjaringkan gol pada minit keempat masa tambahan, tetapi percubaannya tersasar beberapa inci. Bagaimanapun, Leverkusen berjaya bertahan dan memberikan kekalahan domestik pertama kepada pasukan kendalian Vincent Kompany sejak dia dilantik menjadi jurulatih Bayern.
“Kami terlalu tergesa-gesa dan cuba menyerang dengan terlalu cepat,” kata kapten Leverkusen, Jonathan Tah, kepada ARD.
“Pada separuh masa, kami berbincang untuk lebih sabar, dan kami berjaya. Saya tidak tahu Nathan boleh begitu hebat dengan tandukan,” tambahnya.- AFP