Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lewandowski gesa Poland tebus maruah

    SOCHI, 26 Jun – Kapten Poland, Robert Lewandowski, menggesa pasukannya untuk bangkit menebus maruah mereka pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia menentang Jepun, apabila mereka mengalami kekecewaan tersingkir awal dari kejohanan itu.

    Poland tiba di Rusia dengan harapan tinggi namun satu kekalahan teruk 3-0 kepada Colombia telah mengesahkan pintu keluar mereka di peringkat kumpulan.

    Ia susulan kekalahan 2-1 kepada Senegal dalam perlawanan pembukan Kumpulan H dan menjadikan mereka pasukan Eropah pertama disingkirkan.

    “Sekarang kami sedar bahawa usaha kami tidak cukup tetapi itu adalah sesuatu yang kami tidak mampu atasi,” kata penyerang Bayern Munich, Lewandowski pada satu sidang media di pangkalan pasukan di Sochi.

    “Kami berjuang habis-habisan namun itu sahaja yang kami mampu lakukan, perlu diingatkan mengenai masalah-masalah, kecederaan dan prestasi, yang kami alami sebelum Piala Dunia.”

    Poland bermain hebat pada kelayakan namun keputusan perlawanan persahabatan mereka sebelum Piala Dunia tidak menentu dan kecederaan bahu pada pemain pertahanan Kamil Glik sebelum kejohanan menjejaskan persiapan pasukan.

    Lewandowski, yang gagal menghasilkan impak pada kejohanan itu, menolak untuk membincangkan mengenai masa depan kerjaya antarabangsanya.

    Namun, pemain berusia 29 tahun itu mengakui perlawanan dengan Jepun di Volgograd mungkin ‘menjadi perlawanan terakhir bersama pasukan kebangsaan bagi sebahagian kami.”

    Dia menambah, “Kami akan terus bermain dengan sebaiknya semampu kami, terus mewakili Poland dan penuh kebanggaan melakukannya.”

    Kontrak jurulatih Adam Nawalka akan mansuh selepas perlawanan Jepun dan ia masih belum jelas sama ada dia ditawarkan perjanjian baru atau tidak.

    “Selepas perlawanan terakhir, saya akan membuat perjumpaan dengan lembaga dan hanya selepas itu keputusan akan dibuat,” kata Nawalka, yang mula mengambil alih pasukan pada 2013 dan mengetuai pasukan itu ke suku akhir Euro 2016. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda