Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima kes baharu, 1 import dicatatkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Hanya enam kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,418 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa daripada jumlah tersebut, lima daripadanya adalah kes tempatan manakala satu lagi adalah kes import.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

    “Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 3,564 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.2 peratus,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

    Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa tidak ada kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan satu kes adalah dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO) di unit rawatan intensif.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Sebanyak 37 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,150 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 168 kes, katanya.

    Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 3.9 peratus.

    Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, di mana sehingga kelmarin, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah 94.4 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 92.5 peratus; manakala itu, kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 9.1 peratus.

    Manakala itu, tidak ada pelanggaran arahan yang telah didapati semasa sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang diadakan di seluruh negara dari jam 10 malam hingga 4 pagi tadi.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengajak orang ramai untuk berdoa semoga Allah SWT sentiasa merahmati Negara Brunei Darussalam serta rakyat dan penduduk sentiasa di dalam perlindunganNya dan terselamat dari segala musibah dan mara bahaya khususnya daripada wabak COVID-19.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda