LE CASTELLET, 21 Jun – Formula Satu (F1) bakal memasuki minggu perlumbaan ketiga berturut-turut dan kelima dalam enam minggu bermula Ahad ini, dengan kembalinya Grand Prix (GP) Perancis selepas sedekad tidak berada dalam kalendar kejuaraan empat roda terkemuka dunia itu.
Litar Paul Ricard yang diperbaharui di Le Castellet itu pernah berada dalam kalendar F1 sehingga 1990, di mana ketika itu juara empat kali, Alain Prost memenangi perlumbaan terakhir bersama Ferrari.
Separuh daripada pemandu ketika ini masih belum lahir ketika GP Perancis – antara perlumbaan tertua dalam sukan ini – sebelum berpindah ke Magny-Cours sehingga 2008 yang selepas itu menyaksikan mereka mengambil keputusan keluar daripada kalendar.
“Ia akan menjadi perlumbaan yang menarik,” kata ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff. “Kami jarang berlumba di sini dan kami tidak mempunyai banyak data atau mungkin tiada sebarang data di sini.
“Ia menjadikan persiapan kami sedikit sukar berbanding biasa tetapi elemen sedemikian pastinya menambahkan lagi cabaran.”
Lewis Hamilton berharap dapat meningkatkan keyakinan dan meneruskan kemampuan pada minggu ini tatkala dia dan pasukan Mercedes mempunyai misi mengatasi Sebastian Vettel dan Ferrari.
Pemandu Britain dan rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas menyaksikan juara dunia empat kali Sebastian Vettel menjamin kemenangan ke-50 dalam karier di GP Kanada, sekali gus merampas kedudukan pendahulu pemandu dengan kelebihan satu mata.
Sementara itu, Ferrari dan Red Bull masing-masing diberikan enjin yang diperbaharui di Montreal, manakala Mercedes terus menggunakan unit kuasa yang mula digunakan sejak awal musim ini. – AFP