LONDON, 5 DIS – Mata pendahuluan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris dikurangkan kepada tujuh mata oleh Arsenal dan Chelsea selepas The Reds seri 3-3 dengan Newcastle dalam perlawanan mendebarkan semalam, dengan gol penyamaan pada minit ke-90.
Chelsea membelasah Southampton yang bermain dengan 10 pemain, 5-1 untuk naik ke tempat kedua berdasarkan perbezaan gol.
Manchester City mengakhiri tujuh perlawanan tanpa kemenangan dengan mengalahkan Nottingham Forest 3-0 untuk menduduki tangga keempat.
Dua gol Mohamed Salah pada separuh masa kedua tidak cukup untuk melanjutkan rekod kemenangan tujuh perlawanan Liverpool, apabila mereka gagal menang untuk kali ketiga dalam 21 perlawanan di bawah pengurus Arne Slot.
Penyandang liga dua kali itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan di St James’ Park apabila Alexander Isak meledak gol pertama pada separuh masa pertama.
Curtis Jones menyamakan kedudukan sebelum Anthony Gordon mengembalikan kelebihan Newcastle. Manakala Salah menjaringkan dua gol menerusi bantuan Trent Alexander-Arnold untuk mengubah perlawanan, menambah jumlah golnya musim ini kepada 15.
Namun, timbul kejutan lewat apabila kesilapan yang jarang berlaku daripada penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, membenarkan Fabian Schar menjaringkan gol penyamaan lewat untuk Magpies.
“Dia telah beraksi dengan amat baik untuk kami dan walaupun hari ini dia bermain dengan baik, malangnya dia salah menilai situasi tersebut,” kata pengurus Liverpool Slot mengenai kesilapan Kelleher. – AFP