Thursday, January 16, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool layak dianugerahkan gelaran EPL -Gundogan

    LONDON, 31 MAC – Liverpool sepatutnya layak dianugerahkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) jika musim ini tidak dapat diselesaikan kerana pandemik COVID-19, kata pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan.

    Pasukan Jurgen Klopp hanya memerlukan dua kemenangan untuk menjuarai liga pertama mereka sejak tahun 1990 apabila musim itu digantung awal bulan ini.

    Penggantungan perlawanan akan berakhir sehingga 30 April. Ketua-ketua EPL akan bertemu Jumaat ini, tanpa sebarang keputusan bila bola sepak akan disambung semula.

    Gundogan, yang mana pasukannya berada di tempat kedua di bawah Liverpool dengan perbezaan 25 mata, memberitahu bahawa jika musim itu tidak dapat diselesaikan, pasukan Klopp layak bergelar juara.

    “Saya rasa itu yang terbaik,” katanya. “Sebagai ahli sukan, anda perlu adil.”

    Aksi Gundogan pada perlawanan yang lalu. Gundogan berkata Liverpool layak memenangi EPL jika musim ini tidak dapat diselesaikan. – AP

    Pemain antarabangsa Jerman yang berusia 29 tahun itu, yang telah memenangi gelaran EPL bersama City pada dua musim lalu, berkata tidak mungkin dia dan rakan sepasukannya dapat meneruskan latihan pada akhir April ini.

    “Secara jujur, saya tidak boleh bayangkan dan juga saya tidak tahu bagaimana realistiknya,” katanya.

    Laporan semalam mendedahkan bahawa 1,228 orang telah meninggal dunia di Britain akibat COVID-19.

    Perdana Menteri Boris Johnson adalah antara lebih 19,500 orang yang diuji positif COVID-19.

    Aleksander Ceferin, presiden badan bolasepak Eropah UEFA, berkata bahawa kempen 2019/20 boleh dibatalkan jika ia tidak dapat dimulakan semula pada akhir bulan Jun ini.

    Gundogan mengakui bahawa ketua-ketua EPL telah menghadapi pilihan yang sukar. “Terdapat banyak pendapat yang berbeza,” katanya.

    “Bagi kelab-kelab yang mempunyai musim yang sangat baik, jelas tidak mahu jika dibatalkan sekarang.

    “Manakala bagi kelab yang tidak melakukan dengan baik dan mungkin di tempat penyingkiran, membatalkan musim sesuai dengan mereka.”

    Pembatalan akan memberi kesan kepada Kejohanan Inggeris divisyen kedua, apabila kedua-dua Leeds United dan West Brom menduduki dua tempat promosi automatik.

    Gundogan berkata dia akan bersedia dipotong gaji sekiranya kelab Inggeris mengikuti contoh pemimpin Serie A Juventus dan bekas kelabnya, Borussia Dortmund.

    “Sudah tentu saya fikir ia OK, tetapi belum ada perbincangan di England,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda