SYDNEY, 2 DIS – Gergasi perlombongan emas Australia, Northern Star Resources, mengumumkan hari ini ia telah bersetuju untuk membeli pesaing yang memiliki projek emas besar yang masih belum dibangunkan, De Grey Mining, dalam satu perjanjian bernilai AS$3.2 bilion.
Perjanjian tersebut melibatkan pengambilalihan sepenuhnya De Grey bersama dengan projek pembangunan emas Hemi di wilayah Pilbara, Australia Barat. Tawaran saham penuh tersebut menilai De Grey pada kira-kira AU$5 bilion (AS$3.2 bilion).
Harga emas yang meningkat kira-kira 30 peratus pada tahun ini telah mencetuskan persaingan sengit untuk mendapatkan bekalan yang lebih banyak.
Ketua Pegawai Eksekutif Northern Star, Stuart Tonkin berkata, “Projek pembangunan Hemi De Grey akan menghasilkan lombong emas berskala besar, kos rendah dan jangka hayat panjang.”
Walaupun saham Northern Star merosot sebanyak 5.5 peratus pada dagangan awal di Bursa Saham Australia, saham De Grey meningkat 31 peratus.
Perjanjian tersebut, yang diluluskan secara sebulat suara oleh lembaga pengarah De Grey, menawarkan harga saham yang 37 peratus lebih tinggi daripada harga penutupan saham De Grey pada Jumaat lalu.
Laporan oleh penganalisis RBC Capital Markets, Alex Barkley, menyatakan bahawa harga premium saham tersebut adalah ‘wajar’ memandangkan nilai projek Hemi mempunyai beberapa risiko pembangunan. – AFP