Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Sebuah lori musnah dalam insiden kebakaran di kawasan letak kereta sebuah pusat membeli-belah di Berakas pada malam 11 Mac lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, enam orang anggota bomba dan penyelamat serta sebuah jentera dari Balai Bomba Berakas, Cawangan Operasi ‘C’ yang diketuai oleh DSO Tonny bin Tanda, dikejarkan ke tempat kejadian di kawasan letak kereta Airport Mall, Berakas pada pukul 8:29 malam.
Api besar telah membakar keseluruhan enjin sebuah lori.
Pemandu lori itu, seorang lelaki warga Bangladesh, telah pun berjaya keluar dari lori berkenaan sebelum jentera bomba tiba di mana lelaki berkenaan dalam keadaan selamat serta tidak mendapat sebarang kecederaan.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran itu dengan menggunakan satu hos reel di mana air diperoleh daripada tangki jentera.
Api dapat dipadamkan dalam masa 5 minit dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JBP terus menyarankan orang ramai khusus pengguna untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan serta pengguna sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.
Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.