Penyanyi Madonna memfailkan permohonan kepada mahkamah di New York untuk menolak saman yang difailkan peminat terhadapnya pada awal Januari lalu.
Peminat tersebut memfailkan saman selepas konsert penyanyi itu tergendala selama tiga jam gara-gara dia tidak muncul pada waktu dijanjikan.
Konsert yang berlangsung di New York pada Disember tahun lalu itu sepatutnya bermula pada pukul 8:30 malam namun hanya dimulakan sekitar pukul 11 malam.
Dalam permohonan dibuat, Madonna, 66, menjelaskan dia tidak pernah berjanji akan muncul di atas pentas pada pukul 8:30 malam.
Malah kata wakil peguam Madonna, penonton yang datang sepatutnya peka dengan kelewatan konsert terbabit sebagai perkara normal.
“Konsert dijadualkan pada pukul 8:30 malam dan masa tersebut dicetak pada tiket namun Madonna tidak pernah mengiklankan dia akan muncul tepat pada masa tertera.
“Peminat yang sudah berulang kali menonton konsert Madonna sepatutnya faham tentang perkara ini,” katanya memetik laporan mStar.
Terdahulu, pihak pengurusan Madonna turut menjelaskan kelewatan konsert tersebut berpunca daripada masalah teknikal. – Agensi