Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi raih gangsa bola sepak lelaki Olimpik

    NANTES, 9 OGOS – Soufiane Rahimi menjaringkan dua gol dan kapten, Achraf Hakimi, meledak gol melalui sepakan percuma ketika Maghribi menewaskan Mesir 6-0 kelmarin untuk meraih gangsa bola sepak lelaki Olimpik.

    Dua gol Rahimi membawanya kepada lapan gol di Sukan Olimpik, mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terbanyak kejohanan, manakala Abde Ezzalzouli, Bilal El Khannouss dan Akram Nakach turut menjaringkan gol dalam kemenangan bergaya di Stade de la Beaujoire di Nantes.

    Jaringan lewat daripada Hakimi telah memperkukuhkan kedudukan Maghribi untuk meraih pingat pertama bola sepak Olimpik sekali gus yang pertama untuk Afrika Utara.

    Maghribi, yang menewaskan Argentina dalam perlawanan pembukaan kumpulan mereka dan akhirnya ditewaskan oleh Sepanyol pada separuh akhir, telah pun menewaskan Mesir pada perlawanan akhir Piala Negara-negara Afrika Bawah 23, tahun lalu.

    Kejayaan itulah yang membolehkan mereka layak ke Sukan Olimpik, dan seterusnya memperoleh pingat apabila Ezzalzouli, dari Real Betis, meletakkan Maghribi di hadapan dengan jaringan hebat di dalam kotak penalti pada pertengahan babak pertama.

    Rahimi menjadikan kedudukan 2-0 sejurus selepas menanduk masuk hantaran silang oleh Ezzalzouli, sebelum pasukan Atlas Lions itu mendominasi permainan pada separuh masa kedua.

    El Khannouss melepaskan rembatan rendah ke sudut kanan bawah dari luar kotak penalti untuk gol ketiga, dan Rahimi mendapat gol kedua untuk menjadikan kedudukan 4-0 apabila dia berjaya mengawal hantaran Ilias Akhomach sebelum merembat masuk ke gawang.

    Pemain penyerang, Rahimi, yang mencatat sekurang-kurangnya empat gol lebih banyak daripada pemain lain dalam kejohanan itu, kemudiannya membantu pemain pertahanan, Akram Nakach, untuk menjadikannya gol kelima.

    Hakimi turut memanfaatkan jaringan untuk perlawanan terakhir menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter tiga minit sebelum tamat perlawanan. – AFP

    Reaksi Rahimi selepas menjaringkan gol keempat pasukannya semasa perlawanan bola sepak pada 8 Ogos 2024, di Nantes, Perancis. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda