Friday, December 13, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahad Islam Brunei terima anugerah gangsa

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Sekumpulan pelajar dari Mahad Islam Brunei dengan projek inovatif mereka yang dikenali sebagai BioCO2 Capture, telah mendapat anugerah gangsa yang berprestij Projek Cemerlang oleh Kumpulan Pelajar semasa berlangsungnya Anugerah Inspirasi Shell NXplorers 2023-2024, baru-baru ini.

    Anugerah berkenaan meraikan sumbangan cemerlang daripada pelajar, mentor dan fasilitator yang menyertai program NXplorers sepanjang 2023 dan 2024.

    Program NXplorers memperkenalkan pelajar kepada kemahiran berfikir yang kompleks dan kreatif diperlukan untuk memacu perubahan positif, melengkapkan mereka dengan alat untuk menangani cabaran dunia sebenar memupuk generasi pemikir inovatif.

    Projek BioCO2 Capture telah berjaya dibangunkan oleh Awang Khaizuran bin Rezuan, Awang Muhammad Fadhli Danial bin Fariz Surnaidi dan Dayang Nur Aleesya Basirah binti Asmadi, di mana menerusi projek itu, mereka menggunakan alga untuk menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen melalui fotosintesis.

    Teknologi mesra alam ini secara langsung menangani kebimbangan global kritikal sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11) dan Tindakan Iklim (SDG 13).

    Pelajar dari Mahad Islam Brunei bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEL
    GAMBAR SERAHAN SEL

    Kejayaan pelajar-pelajar diraih dengan adanya jiwa ketekunan dan usaha kolaboratif selama ini. Di bawah bimbingan guru penyelia mereka dan mentor NXplorers Young Innovators (NXYI), kumpulan berkenaan mengasah kemahiran dan membangunkan konsep inovatif mereka.

    NXYI ialah program Makmal Tenaga Seria (SEL) yang mengintegrasikan bengkel NXplorers dengan modul-modul Hab Inovasi SEL bertujuan untuk membina kemahiran penting abad ke-21 dalam bidang seperti pengekodan, pemikiran reka bentuk, percetakan 3D dan robotik. Perjalanan mereka juga termasuk bersaing dalam Pertandingan Robotik dan Inovasi (ROBIN) SEL dan Cabaran RBTX Petrosains di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Pencapaian ini dapat dicapai melalui sokongan pihak berkepen-tingan utama terdiri dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Kementerian Pendidikan, Universiti Brunei Darussalam dan Makmal Inovasi Brunei.

    Menurut Ketua SEL, Dr Nur Karnina binti Karim, mereka amat berbangga dengan pelajar dari Mahad Islam Brunei untuk projek berwawasan mereka dan komitmen untuk menangani cabaran alam sekitar global.

    SEL akan terus berusaha mempromosikan STEM di negara ini untuk melengkapkan generasi muda dengan keperluan kemahiran abad ke-21.

    Projek itu adalah bukti komitmen Brunei untuk memupuk inovasi dan pembangunan mampan dalam kalangan beliaa, memastikan masa depan yang lebih cerah dan mampan untuk semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda