KOTA BHARU – Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menginovasikan cendol sebagai minuman sedia diminum dalam bentuk tin bagi memudahkan lagi penggemar memperoleh hidangan itu.
Pelajar tahun tiga di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin berkata produk dikenali sebagai Vcendol itu diperkenalkan selepas melihat belum ada produk cendol sedia diminum dalam bentuk botol atau tin di pasaran.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan itu berkata dia menggunakan santan sawit yang berkualiti tinggi, kaya vitamin, kurang kolesterol dan kurang lemak untuk menghasilkan produk tersebut.
“Inovasi ini juga merupakan peluang mengembangkan idea produk VCendol ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi. “Malah ketika bulan puasa lalu, tempahan diterima meningkat berkali ganda kerana minuman ini sesuai dengan konsep on the go atau ready to drink. Saya berjaya jual Vcendol ini sebanyak 1,000 botol sebulan,” katanya kepada pemberita di sini. Menurut Tuan Muhammad Muiz, Vcendol kini dipasarkan oleh syarikatnya Versatile Food and Beverage menggunakan platform jualan dalam talian seperti Shopee dan media sosial Facebook, selain diedarkan kepada ejen-ejen di seluruh Malaysia.
Hasil inovasi bersama Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan Institut Keusahawanan UMK, VCendol juga telah berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk pingat emas pada 11th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREx 2021) anjuran Universiti Malaysia Pahang. VCendol juga telah memenangi pingat emas dalam eCarnival Research & Innovation (eCRI 2020) anjuran UMK dan Pingat Perak bagi Pertandingan Rekacipta 2020 anjuran Universiti Malaysia Sabah. – Bernama