Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah arah Qantas bayar pampasan kepada 1,700 pekerja

    SYDNEY, 21 OKT – Syarikat penerbangan terbesar Australia, Qantas, diperintahkan membayar pampasan yang besar kepada 1,700 pekerja yang dipecat secara tidak sah semasa pandemik COVID-19, menurut keputusan Mahkamah Persekutuan di Sydney hari ini, lapor Xinhua.

    Mengikut keputusan itu, Qantas dikehendaki membayar pampasan dalam pelbagai jumlah kepada 1,700 bekas kakitangan daratnya.

    Hakim Michael Lee memerintahkan bahawa tiga pekerja dalam ‘kes ujian’ akan menerima pampasan berjumlah 170,000 dolar Australia (AS$114,173.2).

    “Saya berpendapat jumlah pampasan untuk kerugian bukan ekonomi mencerminkan kemudaratan yang dialami oleh setiap tiga individu berkenaan dengan cara yang wajar, adil dan rasional,” katanya.

    Peguam Qantas dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan (TWU) akan dikehendaki memasuki mediasi untuk menentukan jumlah pampasan akhir bagi baki pekerja yang terjejas.

    Pampasan itu akan dihadkan pada kira-kira 12 bulan gaji untuk pekerja.

    Penolong Setiausaha TWU, Nick McIntosh, memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa kesatuan itu menjangkakan jumlah pampasan keseluruhan melebihi 100 juta dolar Australia (AS$67.1 juta).

    Mahkamah Tinggi mendapati pada 2023, Qantas telah melanggar undang-undang apabila ia menamatkan 1,700 pekerjaan di 10 lapangan terbang pada November
    2020.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas keputusan hari ini, Ketua Eksekutif Qantas, Vanessa Hudson, memohon maaf kepada bekas pekerja itu. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda