BANDAR HO CHI MINH, 3 DIS – Mahkamah di Vietnam hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang taikun hartanah yang terlibat dalam kes penipuan berjumlah berbilion dolar, namun memberikan peluang hukuman itu diringankan sekiranya tertuduh membayar semula sebahagian besar aset yang telah digelapkan.
Pemaju hartanah dan pengasas kumpulan pemaju Van Thinh Phat, Truong My Lan, 68, disabitkan bersalah awal tahun ini atas tuduhan menipu wang daripada Saigon Commercial Bank (SCB) yang menurut pendakwa raya berada di bawah kuasanya, di mana dia dijatuhi hukuman mati atas penipuan berjumlah AS$27 bilion.
Dalam perbicaraan rayuan selama sebulan, mahkamah di bandar Ho Chi Minh hari ini memutuskan bahawa tiada asas untuk mengurangkan hukuman tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah menyatakan hukuman mati itu boleh diringankan kepada penjara seumur hidup sekiranya Lan memulangkan tiga perempat daripada aset yang telah diseleweng.
Kes tersebut melibatkan puluhan ribu pelabur yang kehilangan wang simpanan mereka di SCB, menyebabkan kejutan besar di Vietnam dan mencetuskan protes luar biasa daripada mangsa.
Ketika memberi keterangan, Lan berkata cara paling cepat untuk membayar semula dana yang diseleweng adalah dengan ‘membubarkan SCB dan menjual aset itu untuk membayar Bank Negara Vietnam (SBV) dan orang ramai.’
“Saya sangat kesal dengan pembaziran sumber negara ini,” katanya minggu lalu sambil menambah bahawa beliau berasa ‘sangat malu’ kerana didakwa atas jenayah tersebut. – AFP