SEOUL, 31 DIS – Mahkamah Daerah Barat Seoul hari ini meluluskan permohonan untuk menahan Presiden Yoon Suk Yeol yang didakwa atas pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.
Langkah ini menjadikan Yoon sebagai presiden Korea Selatan pertama yang berdepan penahanan ketika masih memegang jawatan.
Waran itu dikeluarkan atas tuduhan Yoon merancang pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal, mengatur pemberontakan dan menyalahgunakan kuasa, lapor Agensi Berita Yonhap memetik sumber.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) memfailkan permohonan itu selepas Yoon mengabaikan tiga kali panggilan untuk hadir bagi disoal siasat.
Waran itu memberi masa 48 jam kepada CIO untuk menahan Yoon bagi tujuan soal siasat dan seterusnya memfailkan permohonan waran tangkap.
Namun, pelaksanaan waran itu masih tidak jelas kerana Perkhidmatan Keselamatan Presiden telah menghalang penyiasat daripada memasuki perkarangan pejabat presiden dan kediaman rasmi Yoon atas alasan keselamatan ketenteraan.
Walaupun Yoon menikmati kekebalan presiden daripada pendakwaan jenayah, keistimewaan itu tidak meliputi tuduhan pemberontakan atau pengkhianatan.
Pasukan pembelaan Yoon berhujah bahawa CIO tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menyiasat kes pemberontakan, yang secara prinsipnya terletak di bawah bidang kuasa polis berdasarkan sistem semasa yang dipinda di bawah pentadbiran sebelumnya.
Bagaimanapun, Ketua CIO, Oh Dong-woon menegaskan bahawa penahanan atau waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah tidak boleh dihalang secara sah, walaupun oleh presiden.
Yoon telah digantung tugas selepas Dewan Negara yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatannya pada 14 Disember lalu atas tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang meneliti kes untuk menentukan sama ada Yoon akan dilucutkan jawatan secara rasmi atau dikembalikan ke tampuk kepimpinan.
Mahkamah mempunyai tempoh 180 hari dari tarikh 14 Disember untuk membuat keputusan. – Bernama/Yonhap