KUALA NERUS, 13 JUN – Pengendali skuad Malaysia, Kim Pan Gon berkata pendekatan bermain untuk menang adalah lebih penting berbanding corak permainan cantik, menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Beliau berkata dalam persiapan menghadapi cabaran getir saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan, barisan pemain perlu membiasakan diri dengan pelbagai pendekatan untuk menang menentang setiap pasukan dengan taktik berbeza.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata pemainnya dinilai berdasarkan taktikal yang digunakan dalam satu perlawanan pada satu masa, oleh itu, mungkin berbeza daripada penilaian peminat bola sepak dan juga media.
“Kita mempunyai misi yang jelas, terutamanya pada ketika ini menjelang Piala Asia, semua lawan sangat kuat dan kita tidak boleh hanya bermain dengan corak permainan cantik dan ‘menarik’ setiap perlawanan tapi kita perlu bijak dan efektif untuk mencipta kemenangan, jadi pendekatan untuk menang lebih penting.
“Saya tahu ada yang mempunyai jangkaan sendiri untuk melihat corak permainan cantik dan ‘menarik’ tapi ada kalanya dengan cara itu, kita tidak mampu berdepan dengan lawan yang kuat,” katanya pada sidang media pra-perlawanan menjelang perlawanan persahabatan itu, di sini hari ini. – Bernama