Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Perkumpulan persendirian semasa Fasa Awal Endemik dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan adalah dibenarkan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Menurut garis panduan Fasa Awal Endemik bagi perkumpulan persendirian yang dimuatkan dalam laman sesawang Jabatan Perdana Menteri (JPM), menyatakan perkumpulan persendirian bererti apa sahaja aktiviti yang dijalankan di kawasan persendirian seperti di sebuah rumah yang melibatkan lebih dua orang yang bukan datang daripada ahli rumah berkenaan dengan perkumpulan itu termasuklah majlis-majlis seperti majlis nikah, tahlil, perkahwinan, pengebumian, acara ulang tahun dan lain-lain lagi.
Panduan itu turut menekankan kapasiti maksimum untuk mengadakan acara di dalam dan di luar kediaman persendirian pada satu masa ialah seramai 300 orang iaitu perhimpunan di dalam rumah kediaman persendirian pada satu masa hendaklah dihadkan kepada maksimum 10 orang untuk unit/rumah yang mempunyai dua buah bilik tidur atau unit/rumah yang lebih kecil, 15 orang untuk unit/rumah yang mempunyai tiga buah bilik tidur dan tidak lebih daripada 30 orang untuk unit/rumah yang mempunyai empat atau lebih bilik tidur.
Tetamu selebihnya dikehendaki berada di luar kawasan kediaman sahaja dan semua yang hadir mesti mematuhi langkah kawalan COVID-19.
Semua individu dibenarkan hadir, walau bagaimanapun, individu yang tidak bervaksin penuh mestilah menunjukkan bukti keputusan ART negatif.
Individu yang mempunyai gejala atau di bawah Perintah Kuarantin tidak dibenarkan untuk menghadiri apa sahaja perkumpulan persendirian dan perkumpulan juga tidak dibenarkan untuk dijalankan di kediaman individu yang mempunyai kes aktif COVID-19 atau kontak bagi kes yang disahkan serta perlu mematuhi langkah-langkah kawalan COVID-19.
Tuan rumah juga dimestikan untuk menyediakan senarai nama yang terkini, no kad pintar dan nombor perhubungan semua yang hadir ataupun digalakkan mendapatkan kod QR BruHealth untuk acara tersebut.
Semasa perkumpulan itu, tuan rumah bertanggungjawab untuk memastikan bilik yang digunakan dapat memuatkan orang yang hadir mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter antara satu sama lain dan menyediakan sistem pengudaraan yang mencukupi termasuk membuka jendela dan kipas angin bagi mengurangkan risiko penularan.
Manakala itu, bagi tanggungjawab tetamu, semua tetamu dikehendaki mengamalkan kebersihan diri dan sentiasa mencuci tangan, pelitup muka hendaklah dipakai pada setiap masa kecuali semasa makan dan minum dan mengelakkan berjabat tangan dana bersalaman serta mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter antara satu sama lain.
Hidangan makanan dan minuman dibenarkan tetapi dalam bentuk makanan pek atau dihidangkan dalam dome warmers serta penyediaan makanan secara bufet tidak dibenarkan.