Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 22 orang Muslimah Masjid Kampung Lambak Berakas, hari ini, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Pegawai Ugama Kanan di Bahagian Hal Ehwal Muslimah di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Majlis anjuran Muslimah masjid itu antara lain bertujuan untuk menanamkan semangat untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran, di samping membudayakan amalan membaca Al-Quran bagi mencapai keredaan daripada Allah SWT.
Di majlis tersebut, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Khatam dibacakan oleh Dayang Dr Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid dan diserikan dengan dikir daripada Kumpulan Pencinta Selawat.