Thursday, December 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis konvo Nuqra rai 47 pelajar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Nuqra Quranic Learning Centre (Nuqra) telah menganjurkan Majlis Konvokesyen Nuqra 2024 bagi meraikan kejayaan lebih 47 pelajar kanak-kanak yang menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran dan kelas persediaan sekolah agama pada 7 Disember lalu.
     
    Majlis yang berlangsung di Dewan LT2, Universiti Teknologi Brunei (UTB) itu dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar selaku tetamu kehormat majlis.
     
    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Nuqra, Awang Muhammad Akmal bin Haji Marsidi dan seterusnya ucapan daripada tetamu kehormat majlis.
     
    Dalam ucapannya, Haji Shamshol mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak yang diraikan termasuk ibu bapa yang sentiasa memberikan panduan dan dorongan kepada anak-anak dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu keagamaan serta mengembangkan pendidikan Al-Quran di luar daripada sistem yang ada.
     
    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar dari ketiga-tiga cawangan Nuqra. 
     
    Selain penyampaian sijil, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah pelajar terbaik kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi sepanjang pembelajaran mereka. Anugerah itu diberikan sebagai penghargaan dan motivasi kepada para pelajar untuk terus mempelajari Al-Quran.
     
    Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai kenangan.
     
    Awang Muhammad Akmal menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN NUQRA
    Haji Shamsol semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR SERAHAN NUQRA
    47 pelajar yang diraikan bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN NQLC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda