Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Kerja-kerja penyambungan paip baru di Jalan 17 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan telah siap dilaksanakan semalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, di sini, hari ini.
Menurut jabatan berkenaan, kerja-kerja penyambungan paip baru telah dilaksanakan kelmarin, 30 Disember dimulakan pukul 9 malam di mana keseluruhan Jalan 17, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan dan kawasan sekitarnya, berkemungkinan telah mengalami gangguan bekalan air / tekanan air rendah.
Jabatan Kerja Raya memaklumkan bahawa bekalan air akan kembali pulih, namun ia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dan kawasan-kawasan tinggi mungkin masih akan mengalami bekalan air atau tekanan air rendah.
Bagi rumah yang memiliki penapis air, mereka disarankan untuk mengeluarkan air (flushing) di penapis persendirian. Sementara itu, bagi sebarang aduan mengenai bekalan air atau permohonan pembekalan air melalui tanker, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123.