Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kajian dan Penerbitan telah mengadakan Majlis Malam Sastera Islam sempena Sambutan Jubli Delima PDI 1406-1446 Hijrah bertempat di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, malam kelmarin.
Malam Sastera Islam merupakan salah satu rancangan tahunan diadakan setiap dua tahun sekali bagi memeriahkan lagi Sambutan Jubli Delima PDI 1406-1446 Hijrah dengan pengisian acara yang berkonsepkan sastera Islam iaitu sastera Islam sebagai sarana dakwah kesenian Islam serta membarigakan buku-buku terbitan baharu PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Muhammad Najib bin Haji Awang; diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman.
Acara turut menyaksikan pelancaran tujuh buah buku terbitan baharu PDI yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Buku-buku berkenaan ialah Menjana Negara Sejahtera; Tokoh Ugama Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin; Antologi Cerpen Taubat dan Istighfar; Himpunan Ayat-ayat Al-Quran dan Hadits Mengenai Rahmat Allah Kepada Hamba-Nya; Himpunan Ayat-ayat Al-Quran dan Hadits Mengenai Perjalanan Hidup Manusia; Himpunan Ayat-ayat Al-Quran dan Hadits Mengenai Kezaliman; dan Himpunan Doa daripada Ayat-ayat Al-Quran, Hadits dan Para Ulama.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sijil kepada para penulis buku-buku terbitan baharu PDI yang baru dilancarkan dan jemaah hakim Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1446 Hijrah / 2024 Masihi.
Ia diikuti dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang bagi Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1446 Hijrah /2024 Masihi; pemenang Pertandingan Mereka Cipta e-Poster sempena Jubli Delima PDI 1406-1446 Hijrah, dan pemenang Kuiz sempena Jubli Delima PDI 1406-1446 Hijrah anjuran Bahagian Media (Multimedia Dakwah).
Terdahulu, PDI telah menganjurkan Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW tahun 1446 Hijrah / 2024 Masihi yang telah dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap di negara ini pada bulan Oktober hingga Disember tahun lalu.
Majlis itu turut disemarakkan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin; Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan juga Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah selaku Penerima Anugerah SEAWrite (Southeast Asia Write Award).
Majlis diakhiri dengan persembahan Pementasan Syairdra Gemilang Dakwah hasil karya dan lakonan daripada Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI.