Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia belum sampai ke peringkat krisis makanan

    KUALA LUMPUR, 30 MEI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam negara masih mencukupi dan negara belum sampai ke peringkat krisis makanan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian itu, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata meskipun terdapat sedikit gangguan terhadap bekalan makanan khususnya ayam dan gandum, namun ia tidak menjejaskan bekalan negara.

    “Ini kerana sekitar 94 peratus pengeluaran ayam adalah untuk bekalan tempatan manakala enam peratus sahaja untuk eksport. 

    Secara keseluruhan, negara kita mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti mengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk ‘Krisis Makanan: Apakah Jaminan MAFI Terhadap Sekuriti Makanan Negara?’ hari ini.

    Beliau berkata selain itu, sekitar 72 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan menternak ayam adalah makanan dan makanan ayam ini diimport dari luar negara seperti Brazil dan Argentina.

    “Jagung bijian yang digunakan untuk makanan ayam kita tidak tanam lagi di Malaysia secara besar-besaran dan oleh sebab itu, MAFI ke arah mengindustrikan jagung bijian supaya kita dapat menyelesaikan isu import jagung bijian dari luar negara,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda