Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia catat 140 kes baharu, 6 kematian

    PUTRAJAYA, 31 MAC – Sebanyak 140 kes baharu COVID-19 dilapor setakat 12 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini 2,766 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat enam lagi kematian akibat wabak itu direkodkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kematian terkini sebanyak 43 kes iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

    “Kes kematian ke-38 (kes pesakit ke-2269) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi yang merupakan kontak kepada kes ke-2750.

    Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 25 Mac lepas dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac, jam 4.04 petang,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19, hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-39 (kes pesakit ke-2626) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 69 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Bernama

    Warga emas itu mempunyai sejarah perjalanan ke Arab Saudi dan meninggal dunia pada 27 Mac di rumahnya dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

    “Bagi kes kematian ke-40 (kes pesakit ke-2627) pula, mangsa merupakan lelaki tempatan berumur 69 tahun yang juga mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

    Pesakit dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac, pada pukul 1.03 tengah hari.

    Sementara, bagi kes kematian ke-41 (kes pesakit ke-1275) melibatkan lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun serta dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac pada pukul 1.38 pagi. Itu adalah kematian pertama direkodkan melibatkan warga asing di negara ini, katanya.

    Beliau berkata bagi kes kematian ke-42 (kes pesakit ke-2628) melibatkan lelaki warga Malaysia berumur 81 tahun dengan latar belakang penyakit jantung dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 27 Mac serta disahkan meninggal dunia pada 31 Mac, pada pukul 7.09 pagi.

    “Kes kematian ke-43 (kes pesakit ke-2629) merupakan lelaki tempatan berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda