NEW DELHI, 25 OGOS – Malaysia dan India merancang untuk meningkatkan hubungan ekonomi mereka melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dipertingkatkan susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini.
Dalam pertemuan dua hala mereka, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi membincangkan kerjasama erat dalam beberapa bidang seperti ekonomi digital, pembuatan semikonduktor, kecerdasan buatan, infrastruktur, keterjaminan makanan dan pelancongan.
“Kami akan meningkatkan kerjasama yang ada kepada kerjasama yang lebih menyeluruh untuk merangkumi semua aspek ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Bernama.
Beliau berkata Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), yang ditandatangani pada 2011 dan meliputi terutamanya perdagangan dan pelaburan, akan dipertingkatkan.
“Kedua-dua Perdana Menteri memberi kami tempoh tiga bulan untuk memberikan maklum balas mengenai bidang yang ingin difokuskan dan parameter yang diperlukan untuk penaiktarafan tersebut,” kata Tengku Zafrul, yang mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke India. – Bernama
