KUALA LUMPUR, 21 DIS – Pelaksanaan pelbagai inisiatif industri dan pengurusan minyak sawit secara mapan adalah penting bagi memastikan komoditi itu kekal antara pemacu utama ekonomi domestik Malaysia selain diterima sebagai sumber makanan global.
Sehubungan itu, Pavilion Malaysia telah memberi penekanan khusus terhadap aspek agrikomoditi negara yang mapan di acara Expo 2020 Dubai menerusi dua program perdagangan dan perniagaan mingguan selain dewan pameran kekal mengenai Agrikomoditi Mampan.
Dalam kenyataan hari ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata Minggu Agrikomoditi Mampan yang diterajui oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, akan diadakan di Pavilion Malaysia pada 6 hingga 12 Februari 2022.
“MPOC selaku badan promosi bagi minyak sawit, akan mempamerkan aspek inisiatif dan pengurusan minyak sawit yang mampan. Tidak ketinggalan, tumpuan ke atas tanaman dan produk lada serta koko.
“Inisiatif itu termasuk skim pensijilan wajib atau mandatori, garis panduan pengawalseliaan, amalan pertanian yang baik serta pembangunan teknologi serba maju oleh sektor huluan, pertengahan dan hiliran industri tersebut,” katanya.
Menurut MPOC, sektor terbabit juga telah memberi sumbangan besar dari segli aliran masuk pendapatan menerusi eksport komoditi asas dan produk dengan nilai tambah.
Malah, konsep mampan tersebut akan terus memperkukuh platform bagi Malaysia dalam pasaran eksport minyak sawit global, katanya. – Bernama