Tuesday, January 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Malaysia perlu timbang tutup pintu sempadan negara’

    KUALA LUMPUR – Penularan pantas beberapa subvarian baharu  COVID-19 yang dikesan di beberapa buah negara sudah tentu membangkitkan kebimbangan masyarakat di Malaysia terutama dengan jangkaan kehadiran pelancong dari China dalam jumlah besar ke negara ini berikutan pembukaan sempadan negara itu sejak 8 Januari lepas.

    Negara tanah besar China itu berhadapan gelombang besar COVID-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

    Laporan terkini menyebut di Henan (wilayah ketiga paling padat di China) sahaja, hampir 90 peratus penduduknya iaitu sekitar 88.5 juta daripada jumlah penduduk seramai 99.4 juta, dijangkiti COVID-19.

    Di samping itu, Amerika Syarikat dan Eropah kini bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 akibat penularan subvarian Omicron, XBB.1.5 yang dikenali dengan nama Kraken yang berpotensi mencetuskan gelombang besar COVID-19.

    Susulan kepada situasi berkenaan, banyak pihak mendesak kerajaan Malaysia mengambil langkah wajar yang lebih serius bagi memastikan kesemua pelancong  patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan ditetapkan bagi memastikan virus pembawa penyakit berjangkit COVID-19 itu dapat dikekang penularannya. 

    Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – Bernama
    Statistik liputan vaksinasi COVID-19 yang memaparkan hanya dua peratus rakyat Malaysia yang mengambil vaksin dos penggalak 2 sehingga 7 Januari 2023 dipamerkan kepada media semasa sesi libat urus Kementerian Kesihatan bersama media. – Bernama
    Para pelancong asing termasuk dari China di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Bernama
    Salah satu kawasan yang kebiasaannya menjadi lokasi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara ketika tinjauan di Jalan Petaling. – Bernama

    Tutup pintu sempadan? 

    Mengulas mengenai isu ini, pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penutupan semula pintu sempadan negara kerana ia adalah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi membendung subvarian baharu yang sedang menular pantas.

    Beliau berpandangan, cadangan kerajaan memperketatkan saringan COVID-19 di pintu masuk sempadan negara tidak dijamin selamat dan negara perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Untuk rekod, kes pertama COVID-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak menjangkakan berlaku lonjakan kes baharu COVID-19 semasa musim perayaan ini.

    Menurut beliau, berdasarkan pengalaman setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022 iaitu pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas telah dilalui serta rakyat Malaysia kembali dari tanah suci, malah ketika Pilihan Raya Umum ke-15, tidak berlaku lonjakan kes.

    Beliau menambah, kes baharu COVID-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lepas, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini. 

    Rujuk pengalaman terdahulu

    Bagi pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, beliau berpandangan, walaupun tiada langkah drastik diambil buat masa ini berikutan jangkitan kes masih lagi terkawal, namun Kerajaan Perpaduan masih melihat virus COVID-19 sebagai ancaman kesihatan.

    Pengalaman kerajaan terdahulu menangani COVID-19  pastinya  akan digunakan sebaik mungkin  kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memutuskan tindakan sesuai membendung wabak berkenaan.  

    “Malaysia setakat ini menunjukkan trend jangkitan yang masih rendah  sekitar 300 ke 500 kes harian berbanding tahun lepas (2022). Kes harian baharu COVID-19 negara pernah merekodkan kes harian melebihi 33,000.

    “Kritikaliti kerajaan waktu ini tidak sama ketika kes harian mencecah puluhan ribu kes. Sekiranya ada pihak melihat kerajaan baharu tidak komited atau tidak serius menangani COVID-19 adalah tidak  tepat kerana langkah agresif  akan diambil kerajaan berdasarkan indikator tertentu yang digunapakai sebelum ini apabila kes menunjukkan semakin serius,” katanya.

    Namun begitu katanya, memutuskan pelaksanaan PKP bukan satu jalan penyelesaian muktamad, sebaliknya langkah pencegahan awal adalah solusi tepat bagi mengekang jangkitan virus berkenaan.

    Menurut Muhammad Izmer, langkah pencegahan itu termasuk kembali mengamalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka, basuh tangan secara kerap serta pengambilan vaksin dan dos penggalak COVID-19.

    “Kerajaan juga perlu kerap memberikan maklumat berhubung situasi terkini COVID-19 selain sentiasa memberikan peringatan kepada rakyat untuk menjaga kesihatan kendiri.

    “Vaksinasi juga penting meskipun masih ada kes jangkitan tetapi  kematian akibat virus itu bukan lagi isu utama kerana  ramai yang dijangkiti berada pada  tahap satu dan dua sahaja kerana kebanyakannya lengkap divaksin,” katanya.

    Kajian vaksin

    Menyentuh mengenai keberkesanan vaksin, Dr Hanafiah pula menyarankan agar kerajaan melakukan kajian lebih terperinci mengenainya bagi mengembalikan keyakinan rakyat mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada jangkitan virus tersebut.

    Setakat ini, hanya 49.8 peratus rakyat negara ini mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua.

    “Seperti kita maklum vaksin ini sebagai perlindungan, meskipun  mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID-19 tetapi ia mengurangkan kesan jangka panjang jangkitan itu. 

    “Bagi saya kajian dalaman perlu dibuat untuk melihat tahap keberkesanan vaksin sekali gus mengambil kira kebimbangan rakyat mengenai kesan sampingannya selain pihak berkenaan perlu turun padang dan ambil maklum balas kenapa mereka yang mengambil vaksin sebelum ini tidak mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan seterusnya,” katanya sambil menambah, kebanyakan golongan dewasa tidak mahu mengambil dos penggalak kerana dilihat tiada keperluan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda