ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
MASA sering dianggap sebagai sesuatu yang sangat berharga malah ada juga ungkapan popular yang menyamakan nilai masa itu ibarat emas.
Setentunya, rencah kehidupan manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan sebarang kesalahan.
Malah ada juga di antara rungutan yang sering kedengaran mengatakan bahawa andai masa dapat diputar kembali pasti sesuatu kesilapan tersebut cuba dihindarkan agar sesuatu yang dirancang akan sempurna terlaksana.
Sebagaimana hebatnya perancangan individu setentunya tidak akan pernah terlepas daripada sebarang cabaran.
Cabaran tersebut bukan sahaja merujuk kepada aspek masa bahkan juga jangka hayat kehidupan manusia ada kalanya turut menyumbang dalam terbantutnya sesebuah impian memandangkan maut tidak pernah mengenal usia.
Justeru, isu tersebut merupakan antara perkara yang cuba ditonjolkan oleh penulis skrip Chu Hye-mi dalam drama About Time yang diarahkan oleh Kim Hyung-sik.
Drama arahan Kim Hyung-sik itu menggabungkan elemen fantasi, romantik dan juga melodrama.
Lee Sang-yoon yang pernah membintangi siri drama Whisper dan On the way to the Airport telah dipilih untuk digandingkan bersama dengan Lee Sung-kyung yang pernah membintangi siri drama Cheese in the Trap dan Doctors telah dipilih untuk menerajui drama ini.
Ia mengisahkan mengeni Choi Michaela lakonan Lee Sung Kyung yang merupakan seorang pelakon drama muzikal dan memiliki kemampuan tersendiri iaitu berupaya untuk mengetahui jangka hayat kehidupan seseorang.
Tanpa diduga dia telah bertemu dengan seorang lelaki bernama Lee Do-ha lakonan Lee Sang-yoon.
Lee Do-ha merupakan seorang ketua pengarah di sebuah pusat kebudayaan dan turut memiliki kuasa untuk menghentikan masa.
Justeru, pertemuan di antara dua individu yang memiliki kuasa tersendiri ini secara tidak langsung turut melahirkan bibit-bibit percintaan.
Malah pertemuan mereka juga seolah-olah berjaya untuk memanfaatkan kelebihan sekali gus memperbaiki sebarang kekurangan.
Justeru untuk mengetahui kesudahan kisah percintaan dua individu tersebut jangan terlepas untuk terus menonton siri drama About Time sehingga ke penghujungnya.