Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Mangsa kebakaran yang berlaku di sebuah banglo Kementerian Kesihatan, Mukim Serasa pada 16 Mac lalu menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.
Hadir bagi menyampaikan bantuan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Bilik Kunjungan, Tingkat 8, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyaksikan sejumlah $1,200 telah disumbangkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan JAPEM kepada ketua keluarga mangsa kebakaran, Dayang Rosnani binti Libut.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa, selain menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.