Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa tragedi katamaran masih trauma

    KOTA KINABALU, 31 Jan – Kebanyakan mangsa bot pelancong jenis katamaran, yang karam di perairan Sabah pada Sabtu lepas, masih mengalami trauma, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

    Ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini hari ini, beliau berkata ada mangsa yang keadaannya semakin stabil, namun semua masih diberi perhatian perubatan di hospital itu.

    “Polis telah melantik seorang pegawai perhubungan untuk setiap mangsa supaya segala kebajikan mereka kita jaga dengan baik,” katanya.

    Ramli juga memberitahu perintah reman telah diperoleh untuk menahan pemilik bot berumur 44 tahun, yang ditahan petang semalam, sehingga 3 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

    Dua kru bot yang terselamat dalam kejadian itu turut ditahan reman sehingga 2 Feb ini.

    Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menziarahi mangsa bot karam pelancong dari China di Hospital Queen Elizabeth hari ini. Beliau ditemani Konsul Jeneral China ke Sabah, Chen Peiji (dua, kiri). – Bernama
    Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menziarahi mangsa bot karam pelancong dari China di Hospital Queen Elizabeth hari ini. Beliau ditemani Konsul Jeneral China ke Sabah, Chen Peiji (dua, kiri). – Bernama

    “Selain itu, belum ada apa-apa perkembangan yang dapat saya kongsikan dan siasatan masih diteruskan dari semua sudut,” jelasnya.

    Turut hadir dalam lawatan Pesuruhjaya Polis Negeri itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekita Sabah Datuk Pang Yuk Ming, Konsul-Jeneral China di Kota Kinabalu, Chen Peijie dan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra.

    Kesemua 20 pelancong China yang diselamatkan dijangka dirawat itu untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi.

    Pengarah hospital Dr Heric Corray berkata pesakit mengalami penyahhidratan dan hipertermia selain ada yang kulitnya melecur tahap pertama.

    “Semua 20 pesakit dimasukkan (ke hospital) pagi semalam dan ditempatkan di wad berbeza.

    “Namun kita akan tempatkan mereka di satu wad supaya mereka boleh saling memberi sokongan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang melawat mangsa terbabit, di sini hari ini.

    Ditanya mengenai bedah siasat ke atas tiga korban tragedi, Dr Corray berkata autopsi ke atas dua mayat sudah selesai semalam namun beliau belum menerima laporan daripada pakar forensik terbabit.

    “Kami belum lakukan autopsi ke atas satu lagi mayat kerana masih menunggu kebenaran daripada keluarga mangsa,” katanya.

    Manakala usaha mencari dan menyelamatkan mangsa lain sedang dijalankan dengan kawasan carian diperluas kepada 3,000 batu nautika persegi pada hari keempat tragedi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata sebanyak 20 aset udara dan laut terlibat dalam operasi merangkumi lima kapal, tujuh bot dan lapan pesawat milik Tentera Laut DirajaMalaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, APMM, Polis Diraja Malaysia dan juga Brunei.

    Pihak berkuasa Brunei menugaskan sebuah helikopter dan sebuah kapal dengan tumpuan operasi di kawasan perairan negara itu, katanya.

    “Pada hari keempat ini kita tumpukan kepada carian di permukaan laut dari udara kerana hari ini adalah hari ‘the golden hour’ (hari-hari terakhir) untuk kita menemukan mereka yang masih hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya kawasan carian tertumpu di 30 batu nautika di utara Pulau Labuan menghala ke barat.

    Mengenai peluang mangsa yang masih hilang untuk hidup, Adam berkata APMM pernah menyelamatkan mangsa pada hari ke-10 di laut.

    “Ada banyak faktor yang menyumbang kepada daya tahan badan tetapi dengan keadaan panas, kehausan, kekurangan air dalam badan serta keadaan laut selain kebarangkalian jaket keselamatan tidak dapat bertahan, agar sukar untuk kami pastikan (peluang mangsa bertahan selepas empat hari),” katanya.

    Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal tersebut karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda