Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid Kampung Sungai Besar anjur Majlis Khatam Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Masjid Kampung Sungai Besar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena ulang tahun perasmiannya yang ke-41, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di masjid berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi.

    Setelah Yang Berhormat Pehin mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah, majlis disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Duha sehingga An-Nas beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhd Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme yang juga mengepalai bacaan takhtim dan membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis kemudian diserikan dengan Dikir Marhaban oleh para peserta khatam yang terdiri daripada jemaah tadarus subuh.

    Majlis turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram; Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan (B) Kolonel Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit juga selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar dan Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Datin Hajah Nahriah bersama jemaah perempuan yang lain. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Turut hadir ialah AJK takmir masjid, Muslimah, belia dan beliawanis serta jemaah masjid dan penduduk Kampung Sungai Besar.

    Masjid Kampung Sungai Besar yang pertama telah didirikan pada akhir tahun 1964 di atas tanah seluas suku ekar di atas bukit berseberangan dengan masjid yang sedia ada pada masa ini.

    Pada 1 Oktober 1982 sebuah masjid baharu telah didirikan oleh pihak kerajaan di kawasan tanah seluas dua ekar yang boleh menampung sehingga 250 jemaah.

    Kemudian, Masjid Kampung Sungai Besar yang baharu telah dibina pada 1 Januari 1984 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Omar selaku Menteri Pelajaran dan Menteri Kesihatan yang baru dilantik pada ketika itu.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda