Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mengkubau dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang pembinaannya dijangka siap pada November 2022.
Sehubungan itu, majlis mendirikan tiang masjid berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat bersama iaitu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Majlis turut dihadiri Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; ahli Majlis Mesyuarat Negara; timbalan-timbalan menteri dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pembangunan serta jemputan khas.
Sejurus ketibaan tetamu-tetamu kehormat bersama, taklimat keselamatan telah disampaikan oleh pegawai keselamatan tapak pembinaan dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan, bacaan ayat kursi, selawat dan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin yamoleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Acara kemudian diteruskan dengan menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan serta diikuti oleh para jemputan khas yang hadir.
Bangunan masjid baharu yang dibina atas sebidang tanah berkeluasan lapan ekar itu menggunakan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang berjumlah $4.3 juta.
Keseluruhan kapasiti masjid baharu RPN itu boleh menampung sekitar 2,000 orang jemaah.
Antara kemudahan yang disediakan adalah dewan sembahyang utama, bilik kuliah, bilik perpustakaan, pejabat pentadbiran, bilik sistem p.a., pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat berwuduk, tandas orang berkeperluan khas, bilik pengurusan jenazah, bilik pembersih, stor dan kelengkapan, dapur dan tempat letak kereta.
Majlis pada hari tersebut diakhiri dengan kunjungan melihat pameran bangunan masjid baharu berkenaan.